Sunday, December 7, 2008

Sejarah Korban

SYARIAT dan syarat berkorban ialah dengan niat yang ikhlas dan taat kerana sesungguhnya Allah tidak memerlukan apa pun pengorbanan daripada kita, kecuali atas dasar ikhlas, taat serta patuh kepada-Nya.

Sejarah korban dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu zaman Nabi Adam, Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW.

Pada zaman Nabi Adam, korban dilaksanakan oleh anaknya, Qabil dan Habil. Menurut sejarah, kekayaan yang dimiliki Qabil mewakili kelompok golongan petani, sedangkan Habil mewakili kelompok penternak. Pada waktu itu, sudah mula ada perintah, sesiapa yang memiliki harta banyak, maka sebahagian hartanya hendaklah dikeluarkan untuk korban.

Sebagai petani, Qabil mengeluarkan korban daripada hasil pertaniannya, dan sebagai penternak, Habil mengorbankan haiwan peliharaannya untuk korban. Qabil mengeluarkan korban yang afdal (terbaik), iaitu hasil ternakan yang sihat, manakala Habil sebaliknya.

Hal itu diungkapkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua anak Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika mana kedua-duanya mempersembahkan ibadat korban, maka diterima daripada salah seorang dari mereka berdua (Habil), dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Lalu ia berkata: Aku pasti membunuhnya (Habil).” (Surah al-Maidah, ayat 27)

Ayat di atas, membuktikan korban Habil diterima di sisi Allah atas dasar niat yang ikhlas dan taat dalam menjalankan perintah Allah. Korban Qabil tidak diterima Allah, kerana mengandungi unsur tidak ikhlas dan taat. Akhirnya, terjadilah peristiwa dan tragedi pembunuhan ke atas Habil oleh tindakan dendam kesumat Qabil. Sejarawan dan ahli tafsir menyatakan, itulah pembunuhan pertama dilakukan di kalangan umat manusia sejak bumi didiami insan.

Kisah korban kategori kedua pula adalah pada zaman Nabi Ibrahim. Baginda bermimpi mendapat perintah daripada Allah supaya menyembelih anaknya Ismail. Keikhlasan dan ketaatannya diberi imbalan oleh Allah, iaitu menyelamatkan Ismail dan menggantikannya dengan seekor kibasy. Peristiwa korban itu memberikan teladan, untuk meraih kemuliaan pastilah dilalui dengan pengorbanan. Berjuang untuk mencapai kemuliaan, ternyata mesti ditempuh dengan berkorban.

Orang yang menyatakan dirinya berjuang, tanpa ada kemahuan untuk berkorban, sesungguhnya bukanlah pejuang melainkan pengikut. Jika ingin maju dan mulia, pasti ada gerakan yang dipeloporinya untuk berjuang sekali gus berkorban, iaitu mendekatkan diri kepada Allah.

Korban kategori ketiga, ialah zaman Nabi Muhammad SAW. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang membenci engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat perkara yang diingininya).” (Surah al-Kauthar, ayat 1-3)

Syariat dan ibadat korban, bukanlah menyembelih haiwan setahun sekali. Yang penting ialah keikhlasan dan ketaatan menunaikan perintah Allah. Allah menguji iman, seperti menguji keimanan Nabi Ibrahim dengan memerintahkan menyembelih Ismail. Allah tidak memerlukan darah dan dagingnya. Allah sekadar menguji keimanan Ibrahim dengan perintah dan ujian yang sangat berat itu.

Syariat dan ibadat korban terus berlaku hari ini hingga kiamat. Oleh itu, pada masa keperluan ekonomi semakin meningkat, akan wujud rasa berat untuk melaksanakan ibadat korban tetapi tugas itu akan menjadi ringan apabila kita ikhlas.

Bertepatan dengan keadaan saudara kita di beberapa negeri yang berhadapan tragedi banjir, ibadat korban yang dilakukan dan daging disedekahkan kepada mangsa sedang berhadapan dengan ujian dapat meringankan beban serta mengeratkan hubungan sesama manusia.

Begitu juga dengan program mengadakan ibadat korban di luar negara hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib masyarakat Islam di tempat lain yang mengharapkan kehadiran Aidiladha membawa kegembiraan kepada mereka. Meskipun haiwan yang disembelih, namun sesungguhnya Allah tidak melihat kepada daging dan darah haiwan dikorbankan itu. Yang dilihat Allah adalah niat ikhlas dan taat yang ada pada diri orang yang berkorban.

Allah berfirman yang bermaksud: “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredaan Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.” (Surah al-Hajj, ayat 37)

Sesetengah pihak berpendapat, kekayaan harta yang diperoleh adalah hasil jerih payahnya, kepandaian dan ilmunya. Mereka melupakan inayah dan pertolongan Allah.

Allahhu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilham....

Salam Aidiladha buat semua umat Islam di seluruh pelusuk dunia

4 comments:

skatype said...

alahuakbar!!!
takbir ler ak kat hotel nie.
mmg besa erti pngrbnan..
sebesr yang tdak djngkau.
jga bdak2 baik2.
tahnks ler.
lau nk buat bletin.
gtau ak jer

Abangikan said...

insyallah......kalau ada berita pasal buletin tu saya bagitau...

tinta kasturi said...

saya dtg merujuk dr blog tazkirah

catatan yg menarik dan bermanfaat buat saya

cuma klu tak menjadi keberatn, mohon semak semula catatan ni

Sebagai petani, Qabil mengeluarkan korban daripada hasil pertaniannya, dan sebagai penternak, Habil mengorbankan haiwan peliharaannya untuk korban. Qabil mengeluarkan korban yang afdal (terbaik), iaitu hasil ternakan yang sihat, manakala Habil sebaliknya.

rasa saya ada sikit silap antara habil dan qobil.

BAROKAH said...

terima kasih..
begitu besarnya keiklasan yang di perlukan untuk berkorban...